Pengenalan

Unit Dietetik dan Sajian merupakan sebuah unit yang menawarkan perkhidmatan sokongan bukan klinikal dan sokongan klinikal. Unit ini terletak di Aras 3, bersebelahan dengan Balai Pelawat dan mula beroperasi dengan perkhidmatan sajian pada tahun 2001 apabila Hospital Slim River mula beroperasi. Seterusnya unit ini berkembang dengan memberi sokongan klinikal dalam bidang dietetik pada tahun 2003 setelah jawatan Pegawai Dietetik diwujudkan.

Visi

Menjadi sebuah unit yang cemerlang dalam bidang pemakanan terutama dari segi penyediaan makanan yang bermutu, lazat dan berkhasiat serta pemberian khidmat kaunseling pemakanan yang berkesan melalui kakitangan yang terlatih, cekap dan berdedikasi. Juga ingin menjadi sebuah unit yang unggul dalam pelaksanaan dan penerapan konsep-konsep kualiti.

Misi
Mengamalkan prinsip-prinsip penyediaan makanan yang sihat dan selamat serta sentiasa menerapkan dan memperkembangkan sikap kecemerlangan melalui:

  • Persekitaran kawasan kerja yang bersih dan selamat.
  • Kakitangan yang terlatih dan berdisiplin.
  • Pemilihan makanan yang berkualiti.
  • Memahami dan memenuhi keperluan dan kepuasan pesakit.

 

SKOP PERKHIDMATAN

Perkhidmatan Dietetik

  1.    Pesakit yang dirujuk oleh Pegawai Perubatan kepada pegawai Dietetik sama ada pesakit dalam atau luar akan diberi khidmat kaunseling  pemakanan atau pemakanan sokongan.
  2.    Perkhidmatan memberi ceramah, latihan , pendidikan berterusan dan khidmat pakar rujuk akan dikendalikan mengikut keperluan.
  3.    Penglibatan dalam kajian serta penyelidikan sejajar dengan keperluan klinikal atau perkhidmatan.

Perkhidmatan Sajian

  1. Diet akan dibekalkan berdasarkan pesanan yang diterima dari wad mengikut jenis diet yang ditetapkan oleh Pegawai Dietetik atau Pegawai Perubatan.
  2.  Ibu yang menemani anak di wad kanak- kanak, akan diberikan diet kelas 3.
  3.    Bayi- bayi yang dilahirkan oleh ibu-ibu yang mempunyai HIV positif akan dibekalkan susu formula bagi tempoh dari lahir hingga umur 2 tahun mengikut kelayakan.
  4.    Doktor yang bertugas atas panggilan akan dibekalkan diet kelas satu.
  5.   Pembekalan makanan kering kepada wad-wad.
  6. Penglibatan dalam kajian serta penyelidikan untuk peningkatan mutu perkhidmatan makanan.

 

PIAGAM PELANGGAN UNIT DIETETIK DAN SAJIAN

Perkhidmatan Dietetik

  • Kes pesakit dalam yang dirujuk akan dilihat dalam tempoh 8 jam waktu bekerja bagi kes kritikal dan 48 jam bagi kes tidak kritikal.
  • Kes pesakit luar yang dirujuk akan dilihat mengikut tarikh temujanji yang ditetapkan.

Perkhidmatan Sajian

  • Makanan disediakan kepada pesakit dalam dan Pegawai Perubatan on-call dengan menggunakan kaedah Hidangan Berpusat (Centralised Plating System).
  • Makanan yang bermutu, lazat dan berkhasiat serta bebas daripada sebarang kontaminasi disediakan mengikut garispanduan Manual Diet Hospital 2006.
  • Makanan akan dibekalkan kepada wad mengikut waktu yang ditetapkan seperti berikut:

No

HIDANGAN

MASA PENGHANTARAN

1

Sarapan Pagi

7.30 – 7.45 am

2

Makan Tengahari

12.00 – 12.15 pm

3

Minum Petang

3.00 – 3.15 pm

4

Makan Malam

6.00 – 6.15 pm

 

OPERASI PERKHIDMATAN KLINIK KAUNSELING DIETETIK (PESAKIT LUAR)

HARI

TEMPAT

MASA

Isnin sehingga Khamis

Klinik Diet, Unit Dietetik dan Sajian

9.00 pagi – 12.30 t/hari

JENIS DIET YANG DIBEKALKAN OLEH UNIT DIETETIK DAN SAJIAN

DIET PIAWAI HOSPITAL

Diet piawai adalah diet normal yang dirancang untuk memenuhi keperluan nutrien pesakit dengan mengambil pelbagai aspek yang telah ditetapkan. Jabatan Dietetik dan Sajian hospital menyediakan diet Kelas 3.

Diet Normal

Merupakan diet seimbang yang yang tidak memerlukan modifikasi zat makanan dan tekstur serta terdiri daripada kepelbagaian kumpulan makanan.

Diet Vegetarian

Di sediakan kepada pesakit yang mengamalkan prinsip agama atau mengikut amalan peribadi tertentu. Sumber protein diet ini adalah daripada tumbuh- tumbuhan seperti kekacang , bijirin, ubi- ubian dan sayur- sayuran.

Diet Kanak-kanak

Merupakan diet normal yang membekalkan pelbagai jenis makanan yang sesuai untuk kanak-kanak berusia dari 1 hingga 10 tahun. Jumlah kalori 1000 - 1800 kcal sehari.

 

DIET MODIFIKASI KONSISTENSI

Diet Cecair Jernih

Merupakan minuman berbentuk cecair yang jernih yang mempunyai nutrien yang mudah di hadam dan diserap dan hanya mengakibatkan residu yang sedikit di dalam saluran gastrointestinal.

Diet ini digunakan untuk pesakit selepas menjalani pembedahan yang belum boleh diberi minuman berkhasiat atau mempunyai masalah penghadaman nutrien- nutrien tertentu.

Diet Minuman Berkhasiat

Diet adalah berbentuk cecair dan berkhasiat. Bagi formula enteral terdapat dua jenis formula seimbang tanpa modifikasi nutrien dan formula teraputik yang mempunyai modifikasi ke atas nutrien untuk rawatan sesuatu penyakit.

Diet Bubur Campur

Diet ini adalah diet dalam bentuk konsistentsi yang lembut dan mudah dikunyah dan terdiri daripaa beberapa kumpulan makanan yang dicampur. Diet ini sesuai untuk pesakit kanak kanak , geriatrik dan pesakit yang mengalami masalah untuk mengunyah.

Diet Cincang

Terdiri dari bubur, lauk pauk dan sayur sayuran yang dicincang berasingan dan dalam bentuk lembut. Sesuai untuk pesakit yang ada masalah untuk mengunyah makanan mengikut kesesuaian.

Diet Lembut

Diet dalam bentuk lembut dari segi pilihan makanan dan cara masakan supaya mudah di kunyah. Sesuai untuk pesakit yang mempunyai masalah mengunyah dan menelan.

DIET TERAPUTIK

Diet teraputik adalah diet yang diperlukan untuk membantu dalam proses rawatan sesuatu penyakit dan melibatkan modifikasi makro dan mikro nutrien tetapi dalam masa yang sama membekalkan keperluan pemakanan pesakit.

Jenis-jenis diet teraputik yang dibekalkan oleh unit ini ialah:

  1. Diet Bland
  2. Diet modifikasi kalori / Diet diabetik
  3. Diet modifikasi protein
  4. Diet modifikasi lemak
  5. Diet rendah kolesterol
  6. Diet modifikasi mikronutrien - Diet rendah Sodium/ garam, Diet rendah/ tinggi Potassium , Diet rendah Purin , Diet rendah Fosfat , Diet rendah Oksalat , Diet rendah Vitamin K
  7. Diet Ujian Diagnostik - Diet VMA ,Diet Ujian Fecal
  8. Diet lain- lain - Diet redah Serat dan Residu , Diet tinggi Serat , Diet tanpa Gliadlin/ Gluten , Diet tanpa Laktosa , Diet Tonsilektomi