• Laman Utama
  • Perkhidmatan
  • Sokongan Klinikal
  • Kerja Sosial Perubatan

Kerja Sosial Perubatan

Pengenalan

Unit Kerja Sosial Perubatan adalah sebuah unit yang berperanan sebagai pusat rawatan psiko-sosial bagi memantapkan jiwa pesakit agar lebih berkeyakinan terhadap kewibawaan dan keupayaan diri. Keadaan ini perlu agar pesakit serta keluarga berupaya meningkatkan taraf kesihatan dan kehidupan mereka sehingga dapat kembali berfungsi dan berperanan dalam masyarakat sesuai dengan batasan keupayaan akibat penyakit yang dialami.

Unit ini diuruskan oleh seorang Pegawai Pembangunan Masyarakat (Kerja Sosial Perubatan) Gred S41. Namun, budaya kerja berpasukan serta ‘kami sedia membantu’ yang diamalkan oleh kakitangan hospital menjadikan unit ini mampu berperanan dalam memberi perkhidmatan kepada pesakit.

 Fungsi Utama

  1. Memberi Bantuan Praktik (BP) kepada pesakit
  • Bantuan Praktik adalah perkhidmatan yang diberikan secara langsung kepada pesakit mengikut keperluan tertentu yang diakibatkan oleh penyakit yang dialami mereka.
  • Contoh Bantuan Praktik adalah seperti bantuan kewangan bulanan, pembelian ubatan, pembelian alatan perubatan, bantuan tambang ke tempat rawatan, penempatan ke institusi, mengesan waris, Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) serta Penilaian Sosioekonomi.
  1. Terapi Sokongan (TS)/ Kaunseling kepada pesakit
  • Perkhidmatan Terapi Sokongan adalah perkhidmatan yang berhubung kait dengan isu emosi dan psikologi pesakit. Teknik dan metodologi kaunseling digunapakai dalam memberi perkhidmatan ini samada kepada pesakit ataupun waris.
  • Contoh kes yang memerlukan Terapi Sokongan adalah Kes Keganasan Rumahtangga, Ibu Tanpa Nikah, Penganiayaan Kanak- Kanak, Rogol, Cubaan Bunuh Diri, Modifikasi Tingkah Laku serta Kaunseling Perkahwinan.

 

Beban Kerja Unit Kerja Sosial Perubatan

Beban kerja Unit Kerja Sosial Perubatan (UKSP) semakin bertambah semenjak ia ditubuhkan. Keadaan ini disebabkan bertambahnya rujukan kes seiring pertambahan bilangan kepakaran di hospital. Keadaan ini juga menunjukkan bahawa semakin ramai pesakit yang perlu dibantu sama ada dari aspek sosioekonomi ataupun aspek psikososial.